Friday, August 28, 2009

:: Emosi Manusia ::

Teman-teman, setiap manusia punya emosi, emosi pula ada pelbagai antaranya marah, cinta, takut, terkejut dan sebagainya. Inilah fitrah manusia yang ada sejak azali lagi.


Emosi adalah istilah yang digunakan untuk keadaan mental dan fizikal yang berhubungan dengan beragam perasaan, fikiran dan sikap. Emosi adalah pengalaman yang bersifat subjektif, atau dialami berdasarkan sudut pandang individu. Emosi berhubungan dengan konsep psikologi lain seperti suasana hati.

Namun sejauh mana emosi ini dapat mempengaruhi diri kita sebagai manusia yang ada kelemahannya kekuranggannya. Pada kebiasaannya sememangnya manusia mudah dipengaruhi oleh emosi masing-masing yang membawa ke arah positif atau negatif. Hal ini kerana emosi saling berinteraksi antara satu sama lain. Contoh, seseorang yang berada dalam keadaan marah apabila tidak dapat mengawal kemarahannya bahangnya pasti turut dirasai oleh insan-insan yang ada disekelilingnya. Kesan buruknya mungkin insan lain juga akan turut terpengaruh dengan perasaan marah tersebut dan mula wujud rasa nak marah dalam diri mereka. Ini sama diibaratkan dengan sebaldi air cuba untuk memadamkan api yang marak pasti air turut terbakar sama. Oleh sebab itu, seharusnya emosi itu dikawal, kita tidak sepatutnya menjejaskan insan lain hanya kerana emosi kita yang tidak stabil.

Emosi yang stabil dapat membantu hari-hari kita berlalu dengan lebih baik, wajah dan perasaan yang tenang dapat mempengaruhi insan yang berada disekeliling kita secara positif. Wujudnya perasaan kasih sayang dan silaturrahim akan turut terjalin. Sesungguhnya umat Islam itu bersaudara maka bersilaturrahimlah, “Tidak sempurna iman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.” 'Dari sudut lain, Ia boleh menonjolkan imej yang positif yang mampu menarik orang bukan islam terhadap imej dan cara orang islam yang mampu mendorong mereka untuk mula menyukai islam dan mula ingin masuk islam. Hal ini dapat mendorong berlakunya proses dakwah secara halus dan mudah.

Allah s..w.t. tidak menggalakkan hamba-hambanya berlebihan dalam beremosi terutama emosi yang negatif supaya tidak dipengaruhi oleh syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia terutama apabila dalam keadaan marah, syaitan mudah untuk menyesatkan manusia ke arah kemungkaran.Emosi yang negatif “Ibarat racun dalam hati” ia akan memakan diri kita secara perlahan-lahan sehingga akhirnya kita sendiri merasa menyesal dan malu dengan apa yang telah berlaku. Oleh sebab itu, seharusnya kita mewujudkan sikap sabar dalam diri kita, sesungguhnya “Sabar itu separuh daripada iman.” Apa yang berlaku pada diri kita adalah dugaan daripada Allah untuk menguji kita yang bertujuan untuk menghapuskan dosa-dosa kecil kita sekiranya kita berjaya melaluinya dengan cara yang baik dan berhikmah.

Hidup ini ibarat roda kadangkala diatas kadangkala dibawah, selamanya tak diatas selamanya tak dibawah. Semuanya hanya kerana Allah tidak mahu hambanya berputus asa memohon doa daripadanya memohon rahmatnya. Rahmat Allah terlalu luas dan amatlah rugi sekiranya tidak dicari dan difahami. Berjalanlah diatas muka bumi ini dan bermusafirlah, pasti kita akan merasa dekat dengan Allah, melihat alam yang luas akan membuat kita merasa betapa beruntungnya kita diatas bumi ini dan menyedari hakikat bahawa Allah itu Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Hal ini akan mewujudkan rasa takut kepada Allah dan seksaan hari akhirat sehingga dapat membantu kita dalam mengawal emosi seharian kita. Alam yang Allah ciptakan ini mampu memberi inspirasi kepada kita dalam mencari ketenangan, pohon dedaunan yang menghijau, langit yang membiru, luasnya lautan, kedinginan air terjun, harmoni bunyian burung dan sebagainya. Allah mahu mendidik kita bersyukur atas apa yang ada, atas apa yang kita punyai sekarang maka bersyukurlah wahai manusia ciptaan Allah atas apa yang kita ada dan punya dimuka bumi ini sesungguhnya segalanya hanya bersifat sementara cuma.


Seuntai Kata Untuk Dirasa :
Bila kekuatan yang dipohon, Allah beri rintangan untuk dihadapi..
Bila kebijaksanaan yang dipohon, Allah beri masalah untuk diselesaikan..
Bila kasih Allah yang dipohon, Allah beri dugaan untuk dihadapi..
Kerana setiap yang dipohon pasti diuji,
Supaya kita lebih dekat dan semakin dekat denganNYA,
Subhanaallah..

No comments:

Post a Comment