Friday, February 25, 2011

Surah Al-Mu’minun
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢) وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ (٣) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِلزَّكَوٰةِ فَـٰعِلُونَ (٤) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِفُرُوجِهِمۡ حَـٰفِظُونَ (٥) إِلَّا عَلَىٰٓ أَزۡوَٲجِهِمۡ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَإِنَّہُمۡ غَيۡرُ مَلُومِينَ (٦) فَمَنِ ٱبۡتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡعَادُونَ (٧) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٲعُونَ (٨) وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَوَٲتِہِمۡ يُحَافِظُونَ (٩) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡوَٲرِثُونَ (١٠) ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلۡفِرۡدَوۡسَ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ ١١

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. (2) Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (3) Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). (4) Dan mereka yang menjaga kehormatannya. (5) Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. (7) Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. (8) Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. (9) Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (11).

Surah al-Mu’minun itu keseluruhannya diturunkan di Mekah, kecuali ayat 75-77 sahaja diturunkan di Madinah. Ayat 1-11 surah al-Mu’minun itu memperkatakan tentang tujuh perkara utama yang menyebabkan seseorang itu berjaya atau tujuh sifat mulia.

Pertama, mereka yang beriman itu akan mendapat kejayaan dan kebahagiaan kerana mereka membenarkan Allah, rasul dan hari akhirat dan mendapat balasan syurga yang kekal selamanya. Kedua, mereka yang khusyuk dalam solat dengan memberi tumpuan untuk mengingati Allah terhadap kebesaran-Nya dan takutkan azab-Nya. Ketiga, mereka yang menjauhi perkara-perkara yang melalaikan. Contohnya seperti bohong, mencela, senda gurau, kelakar, berbual kosong, lawak jenaka dan sebagainya. Keempat, mereka yang mengeluarkan zakat sebagai tanda menyucikan diri dan harta daripada sifat kedekut dan mementingkan diri tertutamanya.Kelima, mereka yang menjaga kehormatan mereka daripada segala perbuatan maksiat seperti berzina, homoseks dan sebagainya yang diharamkan oleh Allah. Keenam, mereka yang menjaga amanah dan janji iaitu apabila diberi amanah tidak khianat dan apabila berjanji ia tidak pula mungkir. Ketujuh, mereka yang menjaga solat. Menunaikan solat tepat pada waktunya dan sempurna rukun-rukunnya.

Kesimpulannya, untuk menjadi seorang mukmin yang berjaya ketujuh-tujuh perkara sifat ini perlu ada dalam diri seorang mukmin supaya dapat menjadi seorang hamba yang taat dan patuh kepada perintah Allah dan dikasihiNya dan menjadi hamba yang memperoleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Friday, October 9, 2009

:: Resepi Perkahwinan Bahagia ::


2kg :penuh pegangan teguh kepada Tuhan dan ajaran agama
1kg :rasa cinta dan kasih sayang yang sentiasa membara.
1kg :rasa kesyukuran dan ketakwaan.
4cawan :rasa tanggungjawab.
3cawan :daya penambat hati (daya tarikan termasuk penawar dan pelembut hati).
2cawan :penuh puji-pujian, kemesraan dan gurau senda.
2cawan :pati kemanusiaan
2cawan :keyakinan diri masing-masing, dorongan dan sokongan.
1cawan :rasa kepuasan
1cawan :budi bahasa
1cawan :perasaan timbang rasa
1cawan :tolak ansur dan toleransi atas segala kesilapan dan kelemahan-kelemahan pasangan.
2 gelas :ucapan terima kasih untuk disiram selalu
1sukatan:peruntukan kewangan yang mencukupi
2orang :anak kecil sekurang-kurangnya
4cawan :penuh pengucapan maafkan daku (ini juga sangat penting untuk kita jadikan amalan diet kita)


Secubit campur tangan mertua. Curahkan kerjasama yang perlu dan persediaan kerja berpasangan dan perkongsian.

Cara membuat dan mengamalkannya:
1. Kita adun dengan cermat semua bahan-bahan diatas dan asingkan rasa cemburu, curiga, sikap mengkritik, sikap marah dan sakit hati.
2. Isingkan dengan bunga-bunga cinta yang segar dan panaskan dengan bara api kesetiaan dan kejujuran.
3. Hiaskan dengan 2 orang anak kecil dan bolehlah ditambah mengikut selera dan kemampuan diri masing-masing.

Peringatan:
Jangan sekali-kali dihidangkan dengan sikap dingin dan lidah yang berbisa. Makanan kalau sesedap mana pun jika dihidangkan dengan sikap dingin akan menjadi hambar. Hiaskan dengan senyuman manis penuh kasih sayang.

~ Rasulullah Tersenyum Terhadap Orang Yang Membujang Yang Hendak Dikahwinkan ~

Daripada Abu Zar r.a bahawasanya ia berkata: “ada seorang lelaki datang ke tempat Rasulullah s.a.w. yang biasa dipanggil dengan Akkaf apakah engkau sudah mempunyai isteri?” “ Tidak.” Jawab Akkaf. “Tidak pula seorang hamba sahaya wanita?” “Tidak.” Jawabnya. “Padahal engkau orang yang kaya dan sihat.” Rasulullah bersabda kepadanya: “Jika demikian, bererti engkau termasuk saudara syaitan. Sekiranya engkau termasuk orang-orang Nasrani, maka engkau termasuk para rahib mereka. Sesungguhnya sunnahku adalah berkahwin. Orang yang paling buruk di antara kalian ialah yang hidup membujang dan orang yang meninggal yang paling buruk di antara kalian adalah orang yang hidup membujang. Syaitan tidak suka jika kalian berkahwin. Syaitan tidak mempunyai senjata yang paling ampuh terhadap orang-orang yang soleh selain daripada wanita, kecuali orang yang berkahwin, mereka adalah orang-orang yang suci dan terbebas daripada zina. Celakalah engkau wahai Akkaf. Sesungguhnya para wanita itu sahabat Ayyub, Daud, Yusf dan Kursuf.” Bisyr bin Athiyah berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah Kursyf itu?” Baginda menjawab: “Seseorang yang rajin beribadah kepada Allah disebuah pantai selama 3 ratus tahun dan berpuasa pada siang harinya serta mendirikan solat pada malamnya. Kemudian ia kufur kepada Allah kerana seorang wanita yang disetubuhinya, lalu ia meninggalkan ibadah kepada Allah. Kemudian ia sedar dan bertaubat daripada keadaannya. Celakalah engkau wahai Akkaf, kahwinlah. Jika tidak, maka engkau termasuk orang-orang yang sentiasa bimbang dan ragu.” Akkaf berkata: “Wahai Rasulullah, kahwinkanlah aku.” Rasulullah tersenyum dan bersabda kepadanya: “Aku akan mengahwinkanmu dengan Karimah binti Kalthum Al-Humairi.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad).

:: Rasulullah Tersenyum Ketika Berlumba Lari Dengan Aisyah ::

Kehidupan rumah tangga Rasulullah patut dijadikan tauladan oleh umatnya kerana baginda sangat pandai menciptakan suasana damai dan baginda suka bergurau senda, bermain atau melakukan perkara-perkara yang boleh menyenangkan hati isterinya.

Aisyah pernah meriwayatkan cerita bersama Rasulullah;

Pada suatu ketika, aku ikut bersama Rasulullah dalam satu perjalanan. Pada saat itu badanku masih kurus. Kemudian Rasulullah menyuruh rombongan yang menyertai kami untuk berjalan dihadapan terlebih dahulu. Lalu baginda berkata kepadaku: “Ayuh kita berlumba lari.”

Dalam perlumbaan itu aku lari sangat laju sehingga mendahului Rasulullah. Namun baginda diam sahaja apabila kalah dalam lumba lari denganku.

Ketika dalam perjalanan lain dimana badanku sudah bertambah gemuk, baginda menyuruh rombongan untuk berjalan mendahului kami. Kemudian baginda mengajak aku berlumba lari lagi.

Dalam perlumbaan ini aku berlari dengan sangat laju, tetapi Rasulullah berlari lebih laju lagi sehingga baginda dapat mendahului aku. Sambil tersenyum baginda berkata kepadaku: “ Ini sebagai penebus kekalahanku yang dahulu.”

:: Poligami ::


Maksud poligami adalah lelaki yang beristeri lebih daripada satu. Syariat telah membenarkan lelaki beristeri lebih daripada satu dengan syarat-syarat yang tertentu. Akan tetapi, jika takut tidak berlaku adil dalam perkahwinan tersebut maka memadailah seorang sahaja. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat yang ke-tiga yang bermaksud:

…maka kahwinlah mana-mana perempuan yang kamu suka, dua, tiga, atau empat. Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil (antara isteri-isterimu) maka memadailah seorang
sahaja.

Syarat poligami dalam Islam
i) Lelaki perlu memahami konsep poligami bukannya untuk berseronok-seronok sebaliknya menjadikan dirinya seorang yang bertakwa kepada Allah.
ii) Sentiasa berlaku adil kepada semua isterinya dari segi zahir dan batin.
iii) Mampu dari segi kesihatan dan pendapatan agar dapat menyara isteri-isterinya.

Hikmah Islam membenarkan poligami
i) Dapat mengelakkan daripada pergaulan bebas dan menghasilkan zuriat di luar nikah.
ii) Menjauhkan diri seseorang daripada melakukan maksiat apabila membuat perhubungan dengan perempuan selain isterinya.
iii) Memberi pembelaan kepada anak yatim dan janda yang kematian suaminya dan memerlukan perlindungan.
iv) Menyambung zuriat terutamanya bagi pasangan yang tidak mempunyai anak.

Maksud Keadilan dalam poligami
 Layanan yang sama rata termasuk giliran bermalam dan tidak membanding-bandingkan isteri-isterinya.
 Berkemampuan melayan isterinya dalam semua hal.
 Memberi nafkah, tempat tinggal dan segala keperluan yang sama rata antara isteri-isterinya
.

~ Langkah Menjauhi Penzinaan dan Pergaulan Bebas ~

1. Menjauhi zina minda
Contohnya, jika seseorang wanita duduk berjauhan daripada seorang lelaki,tetapi mindanya membayangkan sedang melakukan perbuatan lucah dengan lelaki itu, dia ketika itu melakukan dosa walaupun secara zahirnya berjauhan daripada lelaki itu.

2. Menjauhi zina mata
Jika seseorang wanita melihat seorang lelaki dari jauh dengan pandangan syahwat, dia juga berdosa walaupun ketika itu lelaki itu duduk berjauhan daripadanya. Ketika itu dia melakukan “zina mata”. Sahabat Rasulullah S.A.W., Jarir bin Abdullah, pernah berkata: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai melihat wanita dengan tidak sengaja, maka sabdanya:
“Palingkanlah pandanganmu.” ( Riwayat Muslim)

3. Menjauhi daripada berdua-duaan
Ketika berdua-duaan, rangsangan untuk bermaksiat akan lebih kuat kerana godaan syaitan. Berhubung hal ini, Nabi barsabda yang bermaksud:
“Apabila seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita yang ketiganya ialah syaitan.” (Riwayat Ahmad)

Amalkan membawa kawan atau teman jika ingin berbincang dengan insan berlainan jenis mengenai perkara bermanfaat.

4. Menjauhi daripada bersentuhan
Jika melihat seorang lelaki dengan syahwat dilarang oleh agama, maka bersentuhan kulit dengannya pasti lebih ditegah dalam agama. Dalam sebuah hadis oleh Bukhari dan Muslim diriwayatkan yang bermaksud:
“Tidak pernah tangan Rasulullah menyentuh tangan wanita melainkan yang halal baginya.”

Bagaimanapun, pergaulan antara lelaki dan wanita tidak dilarang secara keseluruhan. APA YANG DILARANG IALAH PERGAULAN BEBAS. Namun dalam suasana tertentu yang terkawal ia diizinkan. Contohnya,ketika menuntut ilmu dan berjual beli.

:: Kemuliaan Akhlak Rasulullah S.A.W ::

Hindun bin Abu Halah menyatakan mengenai sifat-sifat mulia Rasulullah SAW seperti berikut:

Rasulullah nampak seperti dalam keadaan berduka, terus menerus berfikir,tidak ada waktu untuk berehat. Tidak berbicara jika tidak perlu, lebih banyak diam, mengawali dan mengakhiri perkataan dengan seluruh bahagian mulutnya dan tidak dengan hujung-hujung sahaja, berbicara dengan memilih kata-katanya yang kuas maknanya, terperinci tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit dengan nada yang sederhana, tidak terlalu keras dan tidak terlalu perlahan. Baginda selalu mengagungkan sekecil nikmat apapun, tidak mencela sesuatu, tidak pernah mencela rasa makanan dan tidak terlalu memujinya, tidak terpancing untuk cepat marah jika ada sesuatu yang bercanggah dengan kebenaran, tidak marah untuk kepentingan dirinya dan sentiasa berlapang dada. Jika memberi isyarat, baginda memberi isyarat dengan seluruh tapak tangannya. Jika sedang kagum, baginda dapat membalik kekagumannya, dan jika sedang marah baginda nampak semakin tua. Jika sedang gembira baginda menundukkan pandangan matanya. Tawanya cukup dengan senyuman, sedangkan senyumannya mirip butir-butir salji.


Allah berfirman menegaskan sifat mulia baginda dalam firman-Nya yang bermaksud:

“ Dan sesungguhnya engkau benar-benar berada pada keluhuran dan keagungan akhlak yang mulia.”
(Surah al-Qalam : 4)