Wednesday, August 26, 2009

:: Matlamat Hidup Manusia ::

Baiklah sebelum ini kita dah cerita tentang asal-usul manusia, pasti kita terfikir mengapakah manusia diciptakan, pasti tertanya-tanya bukan?
Disini akan kita kupas mengenainya atas tajuk ‘ Matlamat Hidup Manusia”. Manusia diciptakan Allah sebagai khalifah di muka bumi ini, Itulah tujuan utamanya. Allah mengisytiharkan ini dalam Surah Al-Baqarah ayat 30, bermaksud:


'(Dan Ingatlah) semasa Tuhanmu berkata kepada para malaikat, ‘sesungguhnya aku akan menjadikan bumi ini, khalif'ah'

Tugas sebagai khalifah adalah satu tugas berat. Mereka wajib beribadah kepada Allah di muka bumi ini. Malah ibadah adalah matlamat hidup mereka. Inilah ketetapan Ilahi sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Zariyat ayat 56 :

“Tidak aku jadikan jin dan juga manusia melainkan untuk beribadah kepadaku.”

Ayat ini datang selepas Allah memaparkan kepada kita ayat-ayat yang menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah di alam semesta disamping perjalanan sejarah mampu menghasilkan makrifat kepada Allah sekaligus menghasilkan ibadah.

Ibadah mempunyai kriteria dan syarat-syaratnya. Allah hanya menerima amal yang mempunyai dua kriteria, pertamanya ikhlas dan keduanya muhsin. Muhsin bermaksud melakukan sesuatu sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. Jika sesuatu amal dilakukan dengan tulus ikhlas tetapi caranya tidak mengikut (syariat), ia tidak diterima oleh Allah.

Selain itu, manusia adalah wakil Allah di muka bumi ini. Maksud penjelasan Allah dalam ayat 30 Surah Al-Baqarah:


“Sesungguhnya Aku menjadikan di muka bumi khalifah yang mewakiliku dalam melaksanakan hukum dan keadilan di kalangan makhluk-makhlukku”. Sesungguhnya khalifah ini adalah Adam dan sesiapa sahaja yang mengikut jejak langkahnya dalam mentaati Allah serta melaksanakan ketetapan hukum dengan adil."

Sememangnya amanah yang terpaksa dipikul oleh khalifah ini berat sekali, sehingga makhluk-makhluk lain tidak sanggup memikulnya. Walau bagaimanapun Allah membekalkan manusia dengan alat-alat terutamanya akal, bagi memudahkan kerjanya. Tambahan daripada itu, Allah mencipta manusia dalam bentuk yang terbaik. Allah menyatakan dalam Surah At-Tin ayat 4:

“Sesungguhnya kami mencipta insan dalam bentuk penciptaan yang terbaik”.

Namun begitu, Islam adalah agama yang lengkap sebagai cara hidup dan tidak membebankan. Oleh sebab itu, Allah memberi jaminan, manusia tidak akan dibebankan dengan sesuatu yang tidak disanggupinya sebagaimana dalam Surah Al-Baqarah ayat 286:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”.

Kesimpulannya, seorang manusia diciptakan atas dua matlamat hidup yang asas berdasarkan al-quran dan as-sunnah iaitu beribadah kepada Allah dan menjadi khalifah di muka bumi dalam menegakkan agama islam.

No comments:

Post a Comment