Friday, February 25, 2011

Surah Al-Mu’minun
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢) وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ (٣) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِلزَّكَوٰةِ فَـٰعِلُونَ (٤) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِفُرُوجِهِمۡ حَـٰفِظُونَ (٥) إِلَّا عَلَىٰٓ أَزۡوَٲجِهِمۡ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَإِنَّہُمۡ غَيۡرُ مَلُومِينَ (٦) فَمَنِ ٱبۡتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡعَادُونَ (٧) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٲعُونَ (٨) وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَوَٲتِہِمۡ يُحَافِظُونَ (٩) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡوَٲرِثُونَ (١٠) ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلۡفِرۡدَوۡسَ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ ١١

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. (2) Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (3) Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). (4) Dan mereka yang menjaga kehormatannya. (5) Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. (7) Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. (8) Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. (9) Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (11).

Surah al-Mu’minun itu keseluruhannya diturunkan di Mekah, kecuali ayat 75-77 sahaja diturunkan di Madinah. Ayat 1-11 surah al-Mu’minun itu memperkatakan tentang tujuh perkara utama yang menyebabkan seseorang itu berjaya atau tujuh sifat mulia.

Pertama, mereka yang beriman itu akan mendapat kejayaan dan kebahagiaan kerana mereka membenarkan Allah, rasul dan hari akhirat dan mendapat balasan syurga yang kekal selamanya. Kedua, mereka yang khusyuk dalam solat dengan memberi tumpuan untuk mengingati Allah terhadap kebesaran-Nya dan takutkan azab-Nya. Ketiga, mereka yang menjauhi perkara-perkara yang melalaikan. Contohnya seperti bohong, mencela, senda gurau, kelakar, berbual kosong, lawak jenaka dan sebagainya. Keempat, mereka yang mengeluarkan zakat sebagai tanda menyucikan diri dan harta daripada sifat kedekut dan mementingkan diri tertutamanya.Kelima, mereka yang menjaga kehormatan mereka daripada segala perbuatan maksiat seperti berzina, homoseks dan sebagainya yang diharamkan oleh Allah. Keenam, mereka yang menjaga amanah dan janji iaitu apabila diberi amanah tidak khianat dan apabila berjanji ia tidak pula mungkir. Ketujuh, mereka yang menjaga solat. Menunaikan solat tepat pada waktunya dan sempurna rukun-rukunnya.

Kesimpulannya, untuk menjadi seorang mukmin yang berjaya ketujuh-tujuh perkara sifat ini perlu ada dalam diri seorang mukmin supaya dapat menjadi seorang hamba yang taat dan patuh kepada perintah Allah dan dikasihiNya dan menjadi hamba yang memperoleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.