Friday, September 4, 2009

~ Buat Yang Bersahabat ~

Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri.. tetapi dalam kita bersendirian, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita.

Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat,begitu juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerang keadaannya.

Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri. Kita terlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan, 'memaksa' dia menerima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita tentang perasaannya?? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa..tetapi kita sering terlupa. Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita pada waktu kita memerlukan dia.

Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kita luahkan, dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita.

Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah?

Dapatkah kita meyakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia menyandarkan harapannya? Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan kawan, kerana dia juga seorang manusia; dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa.

Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Disebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan, disebalik kesenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan, kita tidak tahu tetapi jika kita mencuba menjadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.

Renungilah..

:: Ummu Sulaim :: Srikandi Islam Yang Tabah ::

Salam perjuangan, di sini saya bawakan kisah seorang serikandi dahulu buat pedoman diri dan sahabat-sahabat yang mengunjung blog ni. Inilah kisah seorang serikandi solehah yang telah meninggalkan sejarah gemilang untuk dicontohi oleh setiap wanita sepanjang zaman.

Beliau ialah Ummu Sulaim atau nama gelarannya Rumaisha iaitu ibu kepada Saidina Anas bin Malik. Salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang terkenal. Ummu Sulaim merupakan seorang yang tegas dan kuat keyakinannya kepada Islam. Beliau lebih menyintai perjuangan Islam. Beliau lebih rela berpisah dengan suaminya iaitu ayah kepada Anas yang masih seronok dengan alam jahiliyah.

*Bercerai dengan suaminya kerana kebenaran Islam

Walaupun sudah berkali-kali Ummu Sulaim mengajak suaminya kepada kehidupan yang lebih baik dengan percaya dan tunduk dengan hokum-hukum ALLAH, tapi suaminya enggan dan akhirnya berlakulah perceraian. Setelah berlaku perceraian dengan Malik Nazhar, Ummu Sulaim berazam tidak akan berkahwin lagi sehinggalah Anas dewasa. Ini adalah kerana mahu anaknya benar-benar terdidik dan menjadi anak yang bertaqwa.

*Anaknya sebagai hadiah kepada sebuah perjuangan Islam.

Sewaktu Rasulullah berhijrah ke Madinah, Ummu Sulaim membawa Anas berjumpa dengan Baginda s.a.w. Ketika itu usia Anas baru meningkat 10 tahun. Ummu Sulaim berkata kepada Rasulullah SAW:-

“Hampir semua kaum Ansar, baik lelaki mahupun wanita telah menghadiahkan Baginda dengan suatu hadiah yang berharga. Aku tidak mempunyai sesuatu untukku hadiahkan, melainkan seorang anak lelakiku. Maka ambillah dia supaya dapat dia melayani dan melakukan tugas yang Baginda perintahkan kepadanya”

Ummu Sulaim sangat menginginkan anaknya memperoleh sebanyak mungkin keberkatan daripada Rasulullah SAW. Akhirnya Anas menjadi seorang yang alim yang tinggi ilmunya dan banyak meriwayatkan hadis.

*Perkahwinan kali kedua

Datanglah Abu Talhah yang masih kafir ingin mengahwini Ummu Sulaim. Ummu Sulaim telah memintanya membawa mas kahwin yang paling tinggi. Abu Talhah pergi mendapatkan Rasulullah SAW dan menceritakan segala-galanya.

*Mas kahwin yang teramat tinggi nilaianya :-
Kalimah Syahadah LA ILAHA ILLA ALLAH

Lalu Rasulullah SAW menikahkan Abu Talhah dengan Ummu Sulaim menurut syarat yang diminta. Berkahwinlah Ummu Suliam buat kali kedua dengan Abu Talhah dengan mas kahwinnya ialah Abu Talhah mengucap dua kalimah Syahadah.

Mungkin pada zaman sekarang, kalau berlaku sekarang..masyarakat akan pelik. Bagaimanakah seorang wanita sanggup berkahwin tanpa ada ems, perak, duit hantaran ataupun apa-apa pemberian sebagai mas kahwin. Hakikatnya ALLAH S.W.T tidak pernah memandang kepada harta kemewahan kita, tetapi yang paling utama disisiNYA adalah Iman dan Taqwa.

*Seorang isteri yang solehah.

Ummu Sulaim hidup bersama Abu Talhah dengan penuh kebahagiaan, beliau menjadi isteri yang taat, sentiasa menyuburkan jiwa suaminya dengan iman dan taqwa. Memberikan galakn kepada suaminya agar gigih berjuang, takut dengan ALLAH, rindu dengan syurga ALLAH dan sabar serta redha dalam menghadapi ujian ALLAH. Beliau melayani suaminya sebaik-baiknya. Tidak pernah meminta itu dan ini, beliau merasa cukup dengan apa yang ada. Masa terluang beliau gunakan untuk beribadah, bertahajjud, berwirid dan berzikir kepada ALLAH. Ummu Sulaim tidak menyibukkan diri dengan dunia, hatinya sentiasa terikat dengan ALLAH.

*Diuji ALLAH SWT dengan kematian anaknya.

ALLAH SWT menurunkan ujian untuk menguji dan meningkatkan lagi ketaqwaan kepada-NYA. Anaknya yang masih kecil meninggal dunia setelah menderita sakit beberapa lama ketika Abu Talhah tiada di rumah. Ummu Sulaim dengan tenang menghadapi kematian anaknya itu. Dimandikan, dikafankan dan ditutup anaknya itu dengan kain. Apabila Abu Talhah pulang ke rumah, seperti biasa dia menanyakan tentang keadaan kesihatan anaknya itu, Ummu Sulaim menjawab : “Dia kini sudah tenang dan berehat sepuas-puasnya.” Pada sangkaan Abu Talhah, anaknya itu telah sembuh.


Kebetulan hari itu mereka berpuasa. Ummu Sulaim menyediakan makanan dan berbukalah mereka. Tiba waktu malam, Ummu Sulaim berdandan dan bersolek serta mengenakan wangi-wangian dan melayan suaminya sehingga suaminya lupa untuk bertanyakan khabar anaknya itu.

Sehinggalah keesokan harinya, Abu Talhah bersiap-siap untuk keluar, Ummu Sulaim berkata kepada Abu Talhah : “Wahai suamiku, ada seorang jiran kita telah diberi pinjam pinggan padanya, datang tuan pinggan untuk mengambil pinggannya kembali. Tetapi, jiran kita itu tidak mahu memulangkan semula pinggan itu kepada tuan empunya pinggan. Apa pendapat engkau tentang jiran kita ini??

“Mereka tidak berhak berbuat demikian”, jawab Abu Talhah. Lalu Ummu Sulaim berkata lagi : “ Allah telah meminjamkan kepada kita anak, kemudian DIA meminta kembali anak itu, wahai suamiku.” Terdiam Abu Talhah, lalu dia pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW dan menceritakan apa yang berlaku antara dia dan isterinya. Bersabda Rasulullah SAW: “ semoga Allah memberkati kamu berdua dalam perbuatan kamu malam tadi.”

Doa Rasulullah itu dimakbulkan. Dan dengan kematian anaknya itu, ALLAH gantikan dengan kurniaan yang makin bertambah. Sejak malam itu, Ummu Sulaim mengandung dan melahirkan anak lelaki yang diberi nama Abdullah yang kelaknya menjadi ayah dari seorang anak lelaki pula yang diberi nama Ishaq iaitu seorang tabi’in besar dan alim dalam ilmu hukum-hukum Islam, dan anak lelakinya yang lain kesemuanya berjumlah Sembilan orang. Kesemuanya adalah orang yang berilmu dan penghafal Al-Quran.

***********************************##***************************************
Demikianlah sebuah kisah wanita solehah yang hati dan cintanya hanya untuk ALLAH.. yang mahar perkahwinannya Kalimah Tauhid..subhanallah.. indahnya perhiasan dunia wanita solehah.. mampukah aku menjadi sehebat ini..(“,)

Ya Allah..jadikan kami serikandi solehah..penyejuk dimata, penawar dihati..yang mampu mengetuk pintu kelalaian insani.

:: Nafas Terakhir ::

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.

TANDA 100 HARI
Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daginglembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

TANDA 40 HARI
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi Malaikat Maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun Malaikat Maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

TANDA 7 HARI
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

TANDA 3 HARI
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

TANDA 1 HARI
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

TANDA AKHIR
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Sesungguhnya mengingati mati itu adalah baik. Saling berpesan-pesanlah sesama kita..

"SESUNGGUHNYA DARI ALLAH KITA DATANG, DAN KEPADA ALLAH JUALAH KITA KEMBALI"..

< Ibuku Syurgaku >

Marilah sama-sama kita meningkatkan taqwa kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.

Islam amat memuliakan ibu dan kemuliaan ibu menduduki tempat ke-dua selepas mentaati Allah s.w.t. Justeru, Allah s.w.t. telah mewajibkan anak-anak memuliakan dan menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. Allah Azza Wajalla juga secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua selagi ibu bapa berada atas landasan syarak. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Israa’:23)

Adalah satu hakikat bahawa ibu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding bapa. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan anak-anak lebih mengasihi, dan mengingati serta sering menyebut nama ibu berbanding bapa. Jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Kalau ingin tidur, kita mahu ibu yang tidurkan. Kalau ingin berkahwin, ibu juga yang kita risaukan. Malah sehingga saat menghadapi kematian pun, kita akan menyebut nama ibu.

Kuatnya ingatan anak-anak kepada ibu ialah kerana ibulah yang mengandungkan kita, ibu yang menyusukan kita, ibu yang menyuapkan kita makan dan minum, ibu yang mendodoi dan menidurkan kita, ibu yang membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita. Oleh itu, wajarlah Allah s.w.t. memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. Firman Allah s.w.t. dalam surah Luqman ayat 14:

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”

Fahamilah bahawa ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu banyak berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak-anak. Sedarilah bahawa ibu bapa kita kini telah tua, lemah tenaga, kabur penglihatan dan kurang pendengaran. Mereka sangat mengharapkan pertolongan dan perhatian anak-anak. Gembiralah ibu bapa andainya mereka dikasihi dan dimuliakan dan hancurlah hati ibu bapa jika kita menderhakainya. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin dapat kita menebusnya.

< Amarah Itu Syaitan >

Sifat marah adalah sifat yang pastinya ada dalam diri setiap manusia. Tidak kira apa pun pangkat dan darjat mahupun peringkat umur, pastinya mempunyai perasaan marah. Sifat marah itu juga ditimbulkan oleh sifat bongkak yang terpendam dalam kalbu setiap orang sebagaimana terpancarnya api daripada batu yang dipukul pada besi. Sifat marah ini mungkin berpunca daripada perasaan tertekan, merasa dizalimi, dikhianati, diperkecilkan, dan sebagainya. Terdapat satu penyelidikan mengatakan bahawa manusia itu ada kalanya urat sarafnya ditarik oleh syaitan ketika marah. Maka, bererti eratlah hubungannya dengan syaitan pada sesiapa yang dipengaruhi oleh api kemarahan.

Pada tahap permulaan, sifat marah itu bukanlah satu penyakit. Ia hanyalah luahan yang dilahirkan oleh seseorang dalam bentuk tindakan dan tingkahlaku. Sifat marah yang sudah bertapak di hati, jika tidak dikawal, lama kelamaan akan memakan diri sendiri dan akan membawa padah kepada orang-orang yang kita sayangi serta membawa keburukan dan kemudaratan kepada keadaan disekeliling kita. Oleh hal yang demikian, Islam mengajarkan kepada kita satu ubat yang terbaik bagi mengawal perasaan marah iaitu dengan disirami diri dengan air melalui berwuduk.

Sifat marah berasal daripada syaitan, kerana syaitan itu dijadikan daripada api. Ingatlah, bahawa api itu boleh dipadamkan dengan air. Maka apabila seseorang itu sedang marah, sebaik-baiknya dia terus mengambil wuduk´, kerana air yang disapukan dianggota wudhu´ bukan sahaja dapat menjauhkan diri dari godaan dan hasutan syaitan, malah ini juga dapat menyejukkan muka dan anggota badan kita yang sedang panas kerana kemarahan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk dengan air. Maka, sesungguhnya marah itu daripada api.” (Riwayat Abu Daud)

Di dalam kitab Ihya Ulumuddin, ada menyebut bahawa Imam Al-Ghazali berkata:

"Orang yang marah keadaanya adalah sama dengan anjing yang galak dan binatang yang buas. Sebaliknya, orang yang tenang keadaannya adalah seumpama nabi-nabi, wali-wali, alim ulama, dan ahli hikmat. Seseorang boleh memilih untuk menyerupai binatang buas atau manusia yang terpuji."

Sifat marah itu sendiri sebenarnya lebih banyak memberi sesuatu keburukan daripada kebaikkan. Pertamanya, perasaan marah membawa kepada sifat yang tercela dan rasa serba salah. Sewaktu kita sedang marah pastinya kita tidak akan terfikir apa kesannya, dan apabila keadaan menjadi reda, baru kita menyesal dengan apa yang kita lakukan sebelumnya. Perasaan marah juga sebenarnya memendekkan umur seseorang. Ia juga mengganggu kualiti kesihatan seseorang yang boleh menyebabkan kematian mengejut. Oleh sebab itu janganlah cepat marah kerana ia akan mempercepatkan kematian kita dan menjadikan wajah kita kelihatan lebih tua dari umur yang sebenar.

Orang yang cepat marah atau sedang marah biasanya terdorong melakukan perkara-perkara yang tidak siuman. Ia mungkin akan memaki hamun, merosakkan sesuatu, memudaratkan orang lain dan hilang pertimbangan yang akhirnya menyesali segala yang telah dilakukannnya apabila telah hilang perasaan marahnya.

Dalam masyarakat kita yang kaya dengan bahasa-bahasa kiasan yang menunjukkan betapa buruknya perbuatan mereka yang tidak siuman kerana gagal mengawal perasaan marah. Kata-kata kiasan seperti, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Semuanya menunjukkan betapa buruknya akibat daripada kata-kata atau perbuatan yang berlaku sewaktu dalam keadaan marah.

Orang yang dapat menahan diri dari dikuasai oleh sifat marah akan mendapat ganjaran yang setimpal dengan usahanya, sebagaimana Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga.” (Riwayat Bukhari)

Sememangnya marah adalah satu penyakit yang sepatutnya kita hindarkan seberapa boleh. Namun begitu, marah juga perlu dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Seorang bapa wajib marah jika ahli keluarganya sengaja tidak mahu mengikut ajaran Islam. Seorang ketua keluarga pula bertanggungjawab ke atas mereka yg berada di bawah tanggungjawabnya. Jika mereka yang di bawah tanggungjawabnya melanggar perintah Allah dengan sengaja, ketua keluarga wajib menegur dan memarahinya. Tetapi harus diingat bahawa marah tersebut bukan marah yang mengikut hawa nafsu, melepaskan geram dan melayangkan kaki dan tangan sehingga memukul. Tetapi marah tersebut mestilah marah yang bertujuan mendidik untuk menunjukkan bahawa perbuatan yang dilakukan adalah salah disisi agama. Inilah cara Islam mengarahkan sifat marah yang semulajadi ada pada diri manusia, agar ia membawa kebaikan kepada manusia, dan bukan membawa kebinasaan.

Oleh hal yang demikian, di dalam menangani sifat marah, kita sebagai umat Islam harus mengambil sikap bertolak ansur dan persefahaman sesama manusia. Hindarkanlah segala sebab atau punca yang menyebabkan orang lain memarahi kita. Sekiranya kita dimarahi, jangan pula kita mengeruhkan keadaan. Kita juga harus memainkan peranan untuk memadamkan api kemarahan tersebut. Hadapilah orang yang sedang marah dengan membantu dirinya menghilangkan kemarahannya dengan bijaksana.

Wednesday, September 2, 2009

:: Hati sebesar Cawan ::

" Aduhai, mengapakah hidupku selalu dirundung malang begini..? " lelaki itu berkeluh-kesah. Selama hidupnya, dia tak pernah merasakan ketenangan yang sebenar. Hatinya tidak pernah sepi daripada merasakan kerisauan. Fikirnya, tuhan tidak pernah sudi meminjamkan kedamaian hati padanya. Dia sangat cemburu apabila memandang sekeliling. Mereka bebas ketawa dan mudah tersenyum. Tapi dia? Dia hanya mampu tenggelam dalam dunia sepi dan resahnya sendiri.

Hatinya tidak mampu mengisi segala masalah yang menghimpit jiwanya. Lalu, selepas lelah dan puas berfikir, suatu hari dia melangkah longlai menuju ke hujung kampung. Niat hatinya, ingin menemui seorang lelaki tua.

Saban hari, wajah lelaki tua itu sentiasa basah dan sejuk. Damai sentiasa bertamu diwajahnya. Dia ingin sekali meminta rahsia, " bagaimanakah boleh ku nikmati hidup begitu juga?". Lalu, dia terus bercerita kepada lelaki tua tersebut. Masalah keluh kesah dan kerisauannya didengari lelaki tua itu sambil tersenyum. Lalu mengajak lelaki itu ke suatu tempat iaitu ke tepi sebuah kolam yang besar sambil membawa sebiji cawan dan dua bungkus garam. Lelaki itu mengikut, walaupun hatinya sedikit hairan.

" Anak muda... " lelaki tua itu bersuara .
" Ambillah cawan ini, isikanlah air dan masukkanlah sebungkus garam. " ujarnya lagi. Lelaki itu yang dalam kebingungan hanya menurut. Cawan diambil...air diisi...dan garam dimasukkan. Kemudian lelaki tua itu berkata lagi.
" Sekarang kamu minumlah air tersebut ". Dalam bingung yang masih bersisa, lelaki itu mengikut kata lelaki tua itu.
" Apa rasanya? ", tanya lelaki tua itu apabila melihat kerutan di dahi lelaki tersebut.
" Masin! " lelaki tua itu tersenyum lagi.
" Sekarang, kamu masukkan pula sebungkus garam ini ke dalam kolam itu, dan kamu hiruplah airnya. "

Lelaki tua itu menunjukkan arah ke kolam. Sekali lagi lelaki itu hanya mengikut tanpa menyoal. Air di cedok dengan kedua belah tapak tangan dan dihirup.

" Apa rasanya, anakku? " soal lelaki tua itu.
" Tawar, tidak masin seperti tadi ", lelaki muda itu menjawab sambil mengelap mulut.
" Anakku, adakah kamu memahami kenapa aku meminta kemu berbuat begitu tadi? " tanya lelaki tua itu, sambil memandang tepat ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu hanya menggeleng.

Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu lelaki tersebut.

" Anakku, beginilah perumpamaan kita dan masalah. Garam itu umpama masalah. Cawan dan kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai masalah, ditimpa masalah, dan diuji dengan masalah. Tetapi, kalau hati kita sebesar cawan, maka kita akan merasai pahitnya masalah itu, pedihnya hati kita dan keluh kesahnya kita.Tetapi kalau hati kita sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum, sebab kita akan mengerti masalah bukan hadir untuk menyusahkan kita. Masalah dianugerahkan untuk kita berfikir, untuk kita muhasabah diri. Masalah dan ujian akan memberi hikmah kepada kita. Anakku, itulah rahsiaku. Aku sentiasa berlapang dada, aku sentiasa membesarkan jiwaku, supaya aku boleh berfikir tentang perkara-perkara lain dan masih boleh memberi kebahagiaan padaku. Aku tidak akan sesekali membiarkan hatiku kecil seperti cawan, sehingga aku tidak mampu menanggung diriku sendiri " .

Maka, pada petang itu. lelaki itu pulang dengan senyuman yang terukir di bibir. Dalam hati, dia berjanji, akan sentiasa membesarkan jiwa dan berlapang dada!


Moral:
Sahabat sekalian, janganlah membiarkan diri kita lemas dalam masalah tetapi nikmatilah masalah itu. Sesungguhnya ada hikmah disebaliknya.

:: Kisah Sebatang Buluh ::

Sebatang buluh yang indah tumbuh di halaman rumah seorang petani. Batang buluh ini tumbuh tinggi menjulang di antara batang-batang buluh yang lainnya. Suatu hari datanglah sang petani yang empunya pohon buluh itu.

Dia berkata kepada batang buluh itu “ Wahai buluh, mahukah engkau sekiranya engkau ingin ku kupakai untuk ku jadikan paip saluran air, yang sangat berguna untuk mengairi sawah kepunyaan ku ?? ” Batang buluh itu menjawab, “Oh tentu aku mahu sekiranya dapat berbakti dan berguna bagi engkau, Tuan. Tapi bagitahulah aku apa yang akan kau lakukan padaku untuk menjadikan aku paip saluran air itu?? ”

Sang petani menjawab, “Pertamanya, aku akan menebangmu untuk memisahkan engkau dari rumpun yang indah itu. lalu aku akan membuang cabang-cabangmu yang dapat melukai orang yang memegangmu.

Setelah itu, aku akan membelah-belah engkau sesuai dengan keperluanku. Akhir sekali aku akan membuang sekat-sekat yang ada di dalam batangmu, supaya air dapat mengalir dengan lancar. Apabila itu semua sudah selesai, kau akan menjadi paip yang akan mengalirkan air untuk mengairi sawahku sehingga padi yang kutanam dapat tumbuh dengan subur.”

Mendengar akan hal itu, batang buluh itu lama terdiam.., kemudian dia berkata kepada petani, “Tuan, tentu aku akan merasa sakit ketika engkau menebangku. Juga pasti akan merasa ketika engkau membuang cabang-cabangku, bahkan lebih sakit lagi ketika engkau membelah batangku yang indah ini, dan pasti aku tak tertahan ketika engkau mengorek –gorek bahagian dalam tubuhku untuk membuang sekat-sekat penghalang itu. Apakah aku akan melalui semua proses itu, tuan?? ”

Sang petani menjawab pertanyaan batang buluh itu, “Wahai buluh, engkau pasti kuat melalui semua itu, aku memilihmu kerana engkau yang paling kuat dari semua batang buluh yang ada pada rumpun ini. Jadi, tenanglah.”Akhirnya batang buluh itu menyerah, “Baiklah,tuan. Aku ingin sekali berguna dan berbakti padamu. Inilah aku, tebanglah aku, perbuatlah sesuai dengan yang kau kehendaki.”

Setelah sang petani selesai dengan pekerjaannya, batang buluh yang dulunya indah dan yang menjadi penghias halaman rumah sang petani, kini telah berubah menjadi paip saluran air yang mengairi sawahnya sehingga padi dapat tumbuh dengan subur dan berbuah banyak.

Pernahkah kita berfikir bahawa dengan masalah yang datang silih berganti tak surut-surut?? , mungkin ALLAH sedang memproses kita untuk menjadi indah di hadapan-NYA. Sama seperti batang buluh itu, kita sedang ditempa, ALLAH sedang menjadikan kita sempurna untuk di pakai menjadi penyalur berkat. Dia sedang membuang kesombongan dan segala sifat kita yang tidak elok pada pandangan-NYA. Tetapi jangan khuatir, kita pasti kuat kerana ALLAH tidak akan memberikan beban yang tidak mampu kita pikul.

Jadi, kita biarkanlah ALLAH bebas berkarya dalam diri kita untuk menjadikan kita sesuatu yang berguna bagi-NYA.

Seperti batang buluh itu, mari kita berkata, “Inilah aku hambaMU ya ALLAH, perbuatlah sesuai dengan yang KAU kehendaki ” Daripada mana kita datang??...ALLAH dan kepada siapa kita akan kembali??...ALLAH. Jadi, ikhlas, sabar dan redha lah kita dalam kembara menuju ke negeri abadi.

Wallahua’lam..

~ Pertemuan ~

Bagai satu mimpi yang berpanjangan,
Akhirnya terlerai jua rindu musim semalam..,
Di bumi ini kita berkelana,
Menadah CINTA dan JANJI Yang Esa..
Menongkah gelombang jihad Rasul-NYA.
Jangan lupa & alpa..
Pada sunnah yang seringkali kita leka,
Jangan cepat memuja cinta manusia,,
Dan jangan suka menduga murka Yang Maha Mencipta..
Biarlah CINTA teratas milik Yang Esa,
Kerana tapaknya adalah rasa hamba…
Biar rindu hanya untuk yang SATU,
Kerana dindingnya ukiran permata biru..
Limpahkan rasa syukur pada Yang Maha Pengasih,
Kerana lantainya marmar jernih..
Tempat bertautnya tugu kasih.
Jangan diharapkan pertemuan semula di akhirat sana,
Andainya sering dilupakan janji Yang Esa..
Jangan mengharapkan pertautan mata,
Kerana kejauhan memungkinkan segalanya..
Hanya pada Yang Esa tempat meminta,
Moga dikuatkan iman di dada..
Menongkah badai yang makin menggila..
Andai tiada pertolongan dari-NYA,
Karamlah diri selamanya….

~ Sang Pejuang Sejati ~

Benarkah engkau seorang pejuang? Mengaku diri sebagai pejuang, sebagai jundullah, sebagai aktivis, namun akhlak maupun thaqafahnya tidak mencerminkan hal itu. Mengaku diri sebagai mujahid, namun niat ternoda oleh selain-Nya.

Inilah yang Allah Subhanahu wa Ta'ala firmankan di dalam Al Qur'an, "Apakah kamu mengira kamu akan dibiarkan saja mengatakan 'kami beriman' sedang mereka tidak diuji lagi?" (QS. Al Ankaabut: 2-3)

Sang Pejuang Sejati, Masing-masing kita sebaiknya mengevaluasi diri, adakah kita memang sudah benar-benar menjadi pejuang di jalan-Nya atau jangan-jangan, baru sebatas khayalan dan angan-angan kosong belaka. Inginkan syurga, tetapi tidak siap menggadaikan diri, harta dan jiwa. "Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar." (QS. 3:142).

Ya, kita mengira akan masuk syurga dengan pengorbanan yang sedikit, seakan ingin menyamakan diri dengan hukum ekonomi kapitalis, "Mendapatkan output yang sebesar-besarnya, semaksimum mungkin, dengan input yang seminima mungkin."

Aduhai., sesungguhnya hari akhir itu adalah perkara yang besar. Dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi itu, sangat mahal harganya. Rasulullah SAW bersabda, "Generasi awal berjaya kerana zuhud dan teguhnya keyakinan, sedang ummat terakhir hancur kerana leka dan lalai.

Saat nasyid-nasyid perjuangan dilantunkan, gemuruh di dalam dada menjadi berkobar-kobar untuk berjuang. Tetapi sayang, ternyata hanya tersimpan di dalam dada dan semangat itu ikut surut seiring dengan berakhirnya lantunan nasyid. Tidak keluar dalam amal yang nyata.

Demi Allah., keimanan bukanlah dilihat dari yang paling keras teriakan takbirnya, bukan pula dari yang paling deras air matanya kala muhasabah, dan bukan pula dari yang paling ekspresif menunjukkan kemarahan kala melihat Israel menyerang Palestin. Bukan pula dari yang paling banyak simbol-simbol keagamaannya. Kerana itu semua hanya sesaat.

Sesungguhnya keistiqomahan dalam berjuang, itulah induksi keimanan sang pejuang yang sebenarnya. Pejuang yang sabar menapak hari-hari dengan mengibarkan panji Illahi Rabbi. Yang selalu bermujahadah mengamalkan Al Qur'an. Teguh pendirian. Tak pernah berhenti. Tak kenal erti penat sehingga tiba saat terakhirnya.

Pengorbanan apakah dengan menggunakan sedikit waktunya untuk berda'wah, sudah menganggap diri telah melakukan sehabis-habis perjuangan? Padahal para nabi tidaklah menjadikan da'wah ini hanya sekadarnya saja, tetapi sebagaimana dicantumkan dalam Surat Nuh ayat 5, "....Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam." Pun dalam surah Al Muzzamil, "Hai orang yang selimut, bangunlah lalu berilah peringatan, dan Rabbmu agungkanlah. " Sejak ayat itu turun, sang nabi akhir zaman selalu siang dalam kehidupannya. Bahkan, hingga menjelang ajalnya, Rasulullah sedang menyiapkan peperangan untuk menegakkan Al Haq.

Sang pejuang yang mengaku berjuang.. tetapi makanannya adalah sebaik-baik makanan, dan pakaiannya adalah sebaik-baik pakaian. Dan dengan tanpa rasa berdosa, asyik menonton drama-drama cinta dan acara gosip, mendengar lagu-lagu cinta, berghibah, perut kenyang, banyak tidur, dan mengabaikan waktu, lalu berharap mendapatkan syurga? Sangatlah jauh. Bagaikan pungguk merindukan rembulan. Alangkah berbezanya dengan yang dicontohkan Rasulullah saw, Abu Bakar, Umar, Mush'ab bin Umair dan para sahabat yang lainnya. Yang setelah mendapatkan hidayah, mereka justeru menjauhi kemewahan hidup. Mereka mampu secara ekonomi, tetapi mereka tidak rela menikmati dunia yang melalaikan.

Seorang pejuang harus memahami jalan mendaki yang akan dilaluinya. Rasulullah tak pernah tertawa keras apatah lagi terbahak-bahak. Dan hal itu dikeranakan keimanan yang tinggi akan adanya hari akhir, akan adanya syurga dan neraka. Ada amanah da'wah yang besar di pundaknya, lantas bagaimana mungkin seorang pejuang akan banyak bergurau? Imam Syahid Hasan Al Banna memasukkan "keseriusan" atau tidak banyak bergurau salah satu dari 10 wasiatnya.

Dan dikisahkan pula bahwa Sholahuddin Al Ayyubi tak pernah tertawa kerana Palestin belum dibebaskan.
Dimanakah air mata keimanan? Ya Rabbi., ampunilah kelemahan kami dalam menggalas panji-Mu. Seharusnya generasi terbaik tidak melulu tentang pergerakan dan mengabaikan aspek keimanan. Keimanan harus sentiasa dihembuskan dimana saja kerana ia adalah motor penggerak yang hakiki yang menjadi tunjang kekuatan sang pejuang sejati..

20 Kriteria Sang Pejuang Sejati :-
Sekurang-kurangnya, ada 20 kriteria yang harus dimiliki pejuang, yang disarikan dari Al Qur'an dan hadis, iaitu :-

1. Aqidahnya sempurna (saliimul 'aqiidah)
2. Akhlaknya solid (Matiinul khuluq)
3. Ibadahnya benar (Shohiihul I'baadah)
4. Tubuhnya sihat dan kuat (Qowiyyul jismi)
5. Pemikirannya intelek (Mutsaqqoful fikri)
6. Jiwanya bersungguh-sungguh (Mujaahadatun nafsi)
7. Mampu berusaha sendiri dan berdikari (Qaadiirun 'alal kasbi)
8. Efisien dalam memanfaatkan waktu (Hariisun 'alal waqti)
9. Bermanfaat bagi orang lain (Naafi'un lighoirihi)
10. Selalu menghindari perkara yang samar-samar (Ba'iidun 'anisy syubuhat)
11. Sentiasa menjaga dan memelihara lisan (Hifdzul lisaan)
12. Selalu istiqomah dalam kebenaran (istiqoomatun filhaqqi)
13. Sentiasa menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan (Gaddhul bashor wahifdzul hurumat)
14. Lemah lembut dan suka memaafkan (Latiifun wahubbul 'afwi)
15. Benar, jujur dan tegas (Al Haq, Al-amanah-wasyja' ah)
16. Selalu yakin dalam tindakan (Mutayaqqinun fil'amal)
17. Rendah hati (Tawadhu' )
18. Berfikiran positif dan membangun (Al-fikru wal-bina')
19. Sentiasa siap menolong (Mutanaashirun lighoirihi)
20. Bersikap keras terhadap orang-orang kafir (Asysyidda'u 'alal kuffar)

Jadilah kita Sang Pejuang di kacamata Allah Taala. Alangkah ruginya bila kita menganggap diri sebagai pejuang, padahal dalam pandangan Allah Subhanahu wa Ta'ala, kita bukanlah siapa-siapa. Maka, bersama-sama kita bermuhasabah diri, agar cinta kita kepada-Nya bukan hanya angan semata-mata, agar cinta kita tidak bertepuk sebelah tangan. Kerana pembuktian cinta haruslah mengikuti keinginan yang dicintai..

Cinta sejati, tidak hanya dimulut dan disimpan di dalam dada sahaja, tetapi harus dibuktikan, agar sang kekasih percaya bahawa kita mencintainya. Kita mencintai-Nya dan Dia pun mencintai kita.

"Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya. ." (QS. Al Maidah : 54 -56)

Wallahu a’lam ..

~ Ingatkan Diri ~

**Ingatkan diri..mati itu pasti dan kita semua akan merasai..
“ Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya”(surah Qaf, ayat 19)

**Ingatkan diri..bahawa kematian orang yang zalim itu amat menyakitkan..
“Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim (berada) dalam tekanan-tekanan sakaratul maut, sedang para malaikat memukul dengan tangannya, (sambil berkata) : keluarkanlah nyawamu. Di hari ini kamu dibalas dengan siksaan yang amat menghinakan, kerana kamu selalu mengatakan terhadap ALLAH (perkataan) yang tidak benar dan (kerana) kamu selalu menyombongkan diri dengan ayat-ayatNYA”
(Surah al-An’-aam ayat 93)

**Ingatkan diri…amal kan dihitung dan segalanya akan menjadi saksi..
“Pada hari ini (hari dihitung segala amal) Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi saksilah kaki terhadap apa yang dahulu mereka lakukan” (Surah Yaasin, ayat 65)

ingatlah diri..sesungguhnya kita pasti akan kembali padaNYA..kita akan dipersoalkan atas segala apa yang kita perbuat di muka bumi ALLAH ni..fikir-fikirkanlah.

:: Usah dihirau pada kemuncup dan pohon semalu ::

Setiap organisasi mahupun persatuan punyai strategi dan perancangan, apatah lagi bagi penggerak kepada gerak kerja Islam yang mana memfokuskan kepada agenda dakwah tarbiah. Daripada mula sampai akhirnya..kita semestinya sudah membayangkan bagaimana caturan pergerakan kita..bagaimana akan terlaksananya segala gerak kerja kan?? Bilamana sudah mula bergerak, ada diantara strategi dan perancangan kita berjaya..dan ada jugak yang kurang berjaya.. tetapi tak semua kurang berjaya..

Kita berjalan dan terus berjalan..kita bergerak dan terus bergerak..kita melaksana dan terus melaksana..dan tanpa kita sedari sebenarnya kita sudah berada hampir-hampir di penghujung..segala strategi dan perancangan hampir semua telah dilaksanakan, hanya tinggal beberapa kerat je lagi.. AKAN TETAPI,,, datanglah masalah yang bagi kita amat besar, datanglah masalah yang hampir membuatkan kita buntu untuk meneruskan agenda dalam gerak kerja kita..sehinggakan ada segelintir jiwa-jiwa yang tersasar dan hilang fokus utama oleh kerana sibuk memikirkan masalah yang timbul. Di sini kita silap besar, bilamana kita hilang fokus utama, bilamana kita tersasar daripada objektif gerakan yang ingin kita capai..

Sahabat-sahabat..satu analogi yang cukup mudah, kita berjalan dan bermusafir untuk ke sebuah desa yang akan mengadakan perlawanan jaguh kampung yang terbaik yang dapat memanjat pokok-pokok kelapa yang kesemuanya teramat tinggi, kampung tu agak jauh dan kita memerlukan masa 2 hari untuk sampai ke kampung tu..dan kalau sampai, kita akan sampai pada hari pertandingan..kita persiap-siapkan segala bekalan sepanjang perjalanan, jalan mana yang kita nak guna,jalan mana paling pantas, jalan mana yang perlu kita redahi, kita dah maklum tentang semua tu..kita pun mula berjalan,,,dalam perjalanan kita tu, kita terpaksa melalui padang yang mana penuh dengan pohon semalu dan kemuncup..kaki kita sakit, dan kemuncup begitu banyak melekat pada pakaian kita, amat menyerabutkan….

->Andai kata kita berhenti untuk mencabut semua kemuncup dan membuang semua duri semalu tu sehinggakan kita selesa..kita pasti ketinggalan untuk menyertai pertandingan jaguh kampung terbaik tu sebab kita sibuk nak membuang kemuncup. Dan kita bukan sahaja ketinggalan, bahkan menghampakan harapan semua orang kampung yang berharap pada kita..

->Andai kata kita terus berjalan dengan mengenepikan pohon semalu dan kemuncup yang hanya cuma ada di sekitar kawasan padang itu..kita akan dapat meneruskan perjalanan ke kampung dan boleh menyertai pertandingan jaguh kampung terbaik memanjat pokok kelapa yang tinggi. Kita bukan sahaja dapat menyertai pertandingan, malahan kalau kita menang..kita dapat menggembirakan hati semua orang kampung kan??

Kesimpulannya, hakikat jalan dakwah..tak pernah sunyi dari cabaran..apa yang ingin ana utarakan disini..kita sebagai rijalul dakwah mahupun daie dan juga golongan yang mentarbiyah, kita sememangnya sudah punyai matlamat dan fokus, kita punyai strategi..adalah lumrah bila mana datangnya cabaran yang menjadi batu penghalang..kita sudah hampir sampai pada matlamat akhir, akan tetapi.. datangnya cabaran menghinggap yang membuatkan fokus kita sedikit berganjak dan lari sedikit daripada perancangan sebenar dan banyak gerak kerja tertangguh dan terbantut..

Jadi.. bagi ana, kita pandanglah cabaran ataupun masalah itu sebagai kemuncup dan pohon semalu,,,jangan terlalu sibuk memikirkan bagaimana nak mencabut kemuncup sehinggakan kita terlupa perancangan dan gerak kerja yang perlu kita selesaikan.. berfikir dan bertindak secara bijak dan matang..anggap setiap masalah dan cabaran itu sebagai satu peluang untuk kita menjadi manusia yang lebih baik..

Yakin dengan pertolongan ALLAH..kerana apa yang kita pikul ni bukan Bid’ah, apa yang kita bawa ni bukan benda salah, tetapi apa yang kita bawa ni adalah amanah ALLAH..apa yang kita gerakkan adalah Dakwah dan Tarbiyah, apa yang kita bawa adalah ISLAM..


~melangkah menuju Redha Allah~



Tuesday, September 1, 2009

:: Malu Itu Anugerah ::

Malu dikalangan wanita:

Setiap wanita telah dikurniakan oleh Allah dengan sifat malu.
Kerana malu, seseorang wanita itu
1) Akan tahu menjaga kehormatannya,
2) Tahu menilai batas-batas sosialnya,
3) Dan tidak akan diperdaya oleh pujukan nafsu
.

Pada zaman sekarang susah untuk kita melihat seorang wanita mempunyai bersifat malu. Oleh kerana, sifat wanita itu sudah terkikis sedikit demi sedikit, maka wanita
1) Berani mendedahkan auratnya dan sekaligus kehormatan diri nya akan tergadai.
2) Gagal menilai apa itu ‘halal’ dan ‘haram’.
3) Lemas dan hanyut dengan tipu daya nafsu.



Malu dikalangan lelaki:


Lelaki juga telah dikurniakan oleh Allah dengan sifat malu.
Dengan adanya malu pada seseorang lelaki, maka
1) Dia akan menasihatkan dirinya dan wanita agar bersama-sama menjaga maruah diri dan aurat.
2) Dia akan mengingatkan dirinya dan wanita tentang batas-batas sosial, pergaulan halal dan haram.
3) Dia akan menjaga dan mendidik nafsunya.

Sukar untuk bertemu dengan lelaki yang mempunyai sifat ini.
Oleh kerana seseorang lelaki itu tidak mempunyai sifat malu, maka
1) Dia akan berani mengajak wanita melakukan perkara mungkar.
2) Dia akan lupa tentang hokum Allah SWT.
3) Berkemungkinan lelaki akan hilang taraf sebagai khalifah.


Maka percayalah bahawa sifat malu itu akan menyelamatkan kita daripada keburukan dan kemungkaran.

:: Sabar Separuh Daripada Iman ::

Sabar adalah salah satu sifat yang perlu ada dalam setiap individu di dunia ini. Hal ini kerana orang yang memiliki sifat sabar ini akan sentiasa dalam keadaan tenang,tenteram,mampu menahan diri daripada bencana dan ujian serta mempunyai daya juang dan ketabahan yang utuh dalam semua keadaan.


Didalam al-Quran telah digambarkan tentang ketinggian sifat sabar didalam surah Ali ‘Imran,ayat 186:


وإِن تَصْبِرُواْ وَتَتَّقُواْ فَإِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الأُمُورِ
“Jika kamu bersabar dan bertakwa,maka sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki agar di ambil berat (melakukannya).”


Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sabar adalah sebahagian daripada iman.

Sabar boleh dibahagikan seperti berikut:
1) Sabar mengerjakan ketaatan
2) sabar daripada melakukan maksiat
3) sabar atas segala takdir


Panduan untuk memantapkan sifat sabar dalam diri:
1) Jangan terlalu berfikir mengenai sesuatu masalah, sakit kepala dan kesakitan serta mengharapkan simpati dan perhatian daripada orang lain.

2) Terimalah hakikat bahawa lebih banyak perhatian yang anda berikan kepada perkara ini,lebih teruk keadaan anda nanti. Semua perkara akan menjadi kelam kabut, hati terluka dan merasa tidak sabar kerana orang lain tidak ambil peduli.

3) Jangan fikir untuk menunjukkan kepada orang lain bahawa anda berada dalam keadaan yang betul dan dapat memenangi hati mereka dalam setiap perkara yang dilakukan.

4) Terimalah hakikat bahawa sukar untuk menyenangkan hati setiap orang pada setiap masa. Pastikan anda bersikap adil, wajar dan biar masa yang menentukannya.

5)Jangan fikir anda mengetahui apa yang terbaik untuk orang lain.

6) Terimalah hakikat boleh terus memujuk, tetapi ada kesukaran dalam mengharapkan agar mereka menurut apa yang kita kehendaki. Ini akan mencetuskan ketidaksabaran di kedua-dua belah pihak.

7) Jangan fikirkan bahawa jika mereka tidak bersetuju dengan anda, mereka akan bersifat tidak wajar terhadap anda.

8) Terimalah hakikat bahawa manusia berhak ke atas pandangan yang dikemukakan. Anda mengharapkan mereka membanarkan anda mendapat hak yang sama.

9) Jangan fikirkan mengenai semua perkara buruk yang akan berlaku ke atas diri anda.

10) Terimalah keadaan bahawa setiap orang mempunyai masa rehat. Cuba lihat daripada luar diri anda.

11) Bersimpati terhadap orng lain akan membantu anda bersifat lebih sabar.
12) Jangan fikirkan bahawa sifat yang tidak menentu (moodiness) dalam diri seseorang adalah penting.

13) Terimalah hakikat kadang kala diri kita yang baik ini pun boleh mengalami sifat yang berubah-ubah dan tidak menentu. Hadapi degan tenang dan cuba kawal sifat diri anda.

14) Jangan fikir bahawa cita-cita dan apa yang anda kehendaki adalah terlalu penting.

15) Terima hakikat bahawa wujud kesulitan jika terlalu mengharapkan sesuatu perkara dalam hidup, terhadap diri sendiri dan orang lain. Jika anda terlalu mengharap, kekecewaan akan menjadi anda sedih dan berkelakuan seperti orang hilang sabar.